~one for all and all for one,to infinity and beyond~


Sunday, December 18, 2011

BAB 3: KEPIMPINAN DAN KERJA BERPASUKAN

A136073: GAYA KEPIMPINAN

Gaya Kepimpinan. Retrieved December 15, from
http://mohd-farid.weebly.com/uploads/1/2/7/4/1274031/gaya_kepimpinan.pdf


1.0 Pengenalan
1.1 Kepimpinan ialah perkataan terbitan daripada “pimpin”.
Pimpin bererti bimbing, pandu atau tunjuk. Memimpin diberi erti
sebagai memegang tangan dan membawa berjalan menuju ke
sesuatu tempat. Kepimpinan membawa erti “keupayaaan
memimpin” dan kepemimpinan pula “keupayaan sebagai
pemimpin, daya seseorang pemimpin” (Kamus Dewan 1994).

1.2 Kepimpinan ialah tingkah laku yang mempunyai keupayaan
mengubah haluan sesuatu organisasi. Kepimpinan perlu memilih
kriteria-kriteria tertentu dalam usaha mencapai objektif organisasi.
Mereka boleh memantau orang bawahan agar mengikut kriteria
yang dipilih untuk tujuan pembangunan dan kejayaan di samping
dapat mempertahankan corak kerja berpasukan yang erat
(Cartwright dan Zender 1960) dan (Halpin 1960).

1.3 Kepimpinan merupakan satu subjek yang menarik kepada
semua golongan masyarakat. Kepimpinan memberi gambaran
individu yang berkuasa dan dinamik, yang memerintah tentera
atau mengarah empayar korporat. Sejarah manusia penuh dengan
pemimpin tentera, politik, agama dan sosial. Perjuangan pemimpin
yang berani dan bijaksana menjadi intipati legenda dan mitos.

2.0 Konsep Kepimpinan
2.1 Menurut Stodgill (1974), kepimpinan adalah satu konsep
yang sukar dan kompleks. Dia melihat kepimpinan sebagai satu
fenomena manusia yang universal dan sukar difahami.
Dinyatakan disini lima definisi yang dianggap sesuai dengan
sesebuah organisasi.

2.2 Kepimpinan ialah “satu proses interaksi di antara individu
dengan kumpulan atau khususnya di antara individu dengan
keseluruhan ahli-ahli yang menganggotai kumpulan. Setiap yang
terlibat dengan proses interaksi ini boleh dianggap memegang
peranan yang tertentu yang membezakan antara satu sama lain.
Asas yang membezakan antara satu dengan lain ini ialah
pengaruh, iaitu pemimpin mempengaruhi dan pengikut
mematuhi” (Gordon 1955).

2.3 Seorang ahli pengurusan pula, mendefinasikan kepimpinan
sebagai “satu proses cubaan mempengaruhi sesuatu kumpulan
dalam situasi dan masa yang khusus yang dapat merangsang ahliahli

untuk berusaha secara rela hati bagi mencapai matlamat
bersama” (Gribben 1972).
2.4 Pemikir lain berpendapat bahawa “kepimpinan secara
amnya bermakna pengaruh, satu seni atau proses mempengaruhi
manusia supaya mereka dapat berusaha secara sukarela ke arah
mencapai matlamat bersama” (Koontz 1984).

2.5 “Kepimpinan melibatkan kedua-dua keupayaan atau
kekuatan untuk meyakinkan orang lain supaya bekerja keras ke
arah suatu matlamat dan kemahiran atau kebolehan untuk

membantu mereka mencapainya” (Fulmer 1988).

2.6 Dalam tulisannya “Leadership Dynamic”, Hollander (1978) mendefinasikan kepimpinan sebagai “ satu proses pengaruh mempengaruhi di antara pemimpin dan pengikut. Meskipun
pemimpin mempunyai kuasa tetapi kekuatan pengaruh lebih bergantung kepada pujukan dari paksaan. Proses kepimpinan selalunya melibatkan pertalian pengaruh yang bersifat dua arah dan tujuan utama ialah untuk mencapai matlamat bersama”. Daripada pelbagai definisi yang dikemukakan di atas maka dapatlah
dirumuskan seperti berikut:
i. Kepimpinan wujud dalam apa jua aktiviti yang disusun secara
rapi dan sistematik. Kepimpinan juga berkait secara langsung dan
tidak langsung dengan keseluruhan aktiviti dalam organisasi.
ii. Kepimpinan mempunyai perkaitan rapat dengan kuasa. Setiap
ketua perlu memiliki perancangan sendiri yang mantap.
iii. Kepimpinan mengandungi tugas-tugas serta fungsi bagi:
a. menetapkan matlamat
b. menyusun
c. mengarah dan menyelaras
d. mengawal bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.
iv. Kepimpinan merupakan satu proses mempengaruhi orang
bawahan dan merupakan satu proses yang berterusan.
v. Setiap keadaan memerlukan corak atau gelagat kepimpinan
yang sesuai untuk sesuatu keadaan. Oleh itu kepimpinan ialah
fungsi yang bersifat khusus.
vi. Pemimpin seharusnya berkeupayaan untuk memujuk agar
dapat mendorong orang bawahan bekerja ke arah pencapaian
matlamat organisasi.
vii. Kepimpinan yang berkesan dapat memberi kepuasan kepada
pengikut dan keadaan ini akan menghasilkan prestasi kerja yang

cemerlang. Pekerja akan bekerja bersungguh-sungguh sehingga
objektif organisasi tercapai. Tekanan dan hukuman hanya dapat
meningkatkan produktiviti dalam jangkamasa yang pendek, tetapi
dalam jangka masa panjang pekerja akan menimbulkan reaksi
negatif dan melahirkan rasa tidak puas hati dan bersikap
menentang. Mengadakan perbincangan dan membuka peluang
kepada subordinate untuk mengemukakan idea-idea baru kepada
sesuatu perancangan yang dibuat merupakan langkah yang baik
bagi pemimpin untuk meningkatkan kepuasan kerja. Pengikut
atau orang bawahan akan lebih terdorong untuk bekerja kuat dan
berdedikasi.

3.0 Gaya Kepimpinan

Gaya kepimpinan merupakan cara seseorang pemimpin
menggunakan kuasa yang dimiliki sebagai alat untuk
mempengaruhi pekerja supaya bekerja kuat untuk mencapai
objektif organisasi.
Pada dasarnya stail kepimpinan dapat dibahagikan kepada empat
jenis seperti yang dijelaskan oleh Blake & Mouton (1964) iaitu:

3.1 Kepimpinan Autokratik
Seseorang pemimpin yang autokratik adalah mementingkan
pelaksanaan tugas. Dia memimpin dengan menggunakan
sumber kuasa formal. Pemimpin yang mengamalkan stail ini
akan membuat keputusan yang berkaitan dengan tugas,
mengeluarkan arahan dan memastikan arahan itu dipatuhi.
Contoh kepimipnan seperti ini boleh dilihat di dalam
industri.

3.2 Kepimpinan Berperikemanusiaan
Kepimpinan yang berperikemanusiaan menunjukkan minat

yang lebih terhadap kakitangannya. Dia mementingkan
suasana kerja yang baik, dipupuk melalui jalinan
persahabatan yang mesra di kalangan semua kakitangan.
Konflik cuba dihindarkan dengan menganjurkan
permuafakatan.

3.3 Kepimpinan Demokrasi
Stail kepimpinan demokratik dikenali juga sebagai
pemimpin yang mengalakkan kesemua kakitangannya
melibatkan diri dalam organisasinya. Peluang diberi kepada
setiap ahli organisasi untuk memberikan pendapat atau
pandangan sebelum sesuatu keputusan diambil.

3.4 Kepimpinan Laissez-Faire (kebebasan)
Pemimpin yang mengamalkan stail kepimpinan laissez-faire,
tidak begitu berminat dengan urusan yang diamanahkan
kepadanya. Beliau biasanya tidak peduli mengenai kerja
mahupun hasilnya. Kuasa yang ada padanya tidak

digunakan. Pemimpin jenis ini akan membiarkan semua
keputusan dibuat oleh orang bawahannya.
Gaya kepimpinan yang agung sekali ialah seperti yang dibawa oleh Nabi
Muhammad S.A.W. yang diakui oleh seluruh umat sama ada Islam atau
bukan Islam. Seorang ahli sejarah dan astronomi bernama Michael Hart
telah menulis bahawa orang yang sangat berpengaruh di antara jutaan
orang yang lahir iaitu Muhammad pemimpin Islam; sebab dialah
satu-satunya orang dalam sejarah yang berjaya gilang-gemilang dalam
dua bidang sekali gus, iaitu kehidupan agama dan melaksanakan
pengurusan umat di dunia (Newsweek 1978).

4.0 Kepimpinan Berkesan
Pengikut menyumbang kuasa yang besar kepada pemimpin mereka dan
kepimpinan dikaitkan dengan kejayaan atau kegagalan sesebuah
organisasi.

4.1 Drucker (1985) berpendapat kejayaan sesebuah organisasi

adalah tanggungjawab eksekutif. Bagi organisasi seperti universiti,
kejayaannya adalah tanggungjawab Kumpulan Pengurusan.
Mereka bertanggungjawab terhadap prestasi sendiri, pekerja, hasil
serta kualiti perkhidmatan.

4.2 Edmond (1978) berpendapat “principals can make a
difference”, yang membawa maksud bahawa sesebuah organisasi
boleh dimajukan dan kemajuannya berpunca daripada
kepimpinan pihak pengurusan. Keupayaan memupuk kerjasama
antara pengurusan dan pekerja di dalam pelbagai aktiviti
organisasi merupakan prasyarat penting kepada kepimpinan

berkesan.
Penyelidikan yang dibuat oleh pakar-pakar pengurusan menyatakan
ciri-ciri yang lazim ada pada kepimpinan yang berkesan ialah :

i. Semangat – mereka mempunyai cita-cita, ketabahan, ketekunan,
tekad, daya usaha, tenaga dan hasrat untuk berjaya.
ii. Kejujuran dan integriti- mereka mempunyai sikap terbuka,
boleh dipercayai, jujur dan boleh diharapkan.
iii. Dorongan kepimpinan- mereka mempunyai hasrat yang tinggi
mahu mempengaruhi individu lain supaya menyokong usaha
mencapai tujuan dan matlamat yang sudah ditetapkan oleh
pemimpin.
iv. Keyakinan diri- mereka sangat percaya pada keupayaan diri

sendiri.
v. Kepintaran- mereka berupaya menggabungkan dan
mentafsirkan maklumat-maklumat yang banyak. Kajian
mendapati otak yang sangat pintar belum tentu boleh
membuatkan seseorang itu menjadi pemimpin yang berjaya malah
adakalanya menimbulkan kesan negatif pula.
vi. Pengetahuan dalam bidang- mereka mempunyai ilmu dan
kepakaran yang cukup dalam bidang yang dipimpin.
vii. Kreativiti- mereka berupaya mencipta idea-idea baru yang
berguna.
viii. Fleksibiliti- mereka berupaya menyesuaikan diri kepada
keperluan individu yang mereka pimpin dengan keperluan situasi
dan masa.

5.0 Kesimpulan
5.1 Daripada perbincangan di atas perlu saya tegaskan bahawa
kepimpinan adalah proses dimana seseorang individu itu
mempengaruhi anggota-anggota lain didalam kumpulannya

kearah mencapai tujuan dan matlamat kumpulan itu.
5.2 Dalam erti kata yang lain, kepimpinan ialah proses yang
sangat berkaitan dengan pengaruh dimana seseorang itu berjaya
mempengaruhi mereka yang dipimpin supaya mengubah sikap
dan tingkah laku mereka.

Tegasnya, pemimpin memimpin dan dipimpin. Kepimpinan ialah tenaga
penting di sebalik kejayaan organisasi dan organisasi tidak boleh
mencapai kejayaan tanpa kepimpinan yang berkesan.

Ulasan saya: Pemimpin merupakan seorang yang mampu mempengaruhi ahli-ahli kumpulan ke arah pencapaian matlamat kumpulan. Pemimpin ini perlu memenuhi kemahiran dan ilmu pengetahuan yang kukuh serta sentiasa memberi sokongan kepada ahlinya untuk mencapai matlamat tersebut. Seorang pemimpin dianggap berjaya dalam memimpin kumpulnya sekiranya beliau boleh menggerakkan ahli-ahli kumpulan melalui semangat kerja berpasukan. Sifat peribadi unggul pemimpin seperti yakin, berpengetahuan, adil, petah, berdaya usaha, rela berkorban dan sentiasa merendahkan diri akan menyebabkan orang ramai menghormati beliau.

A136073: Apa itu kerja berpasukan?

Hazlan. apa itu kerja berpasukan.(December 24, 2010). Retrieved 15 December, 2011, from http://hairilhazlan.com/2010/apa-itu-kerja-berpasukan/


Secara ringkasnya kerja berpasukan merujuk kepada pekerja yang bekerja dalam satu kumpulan yang sering bekerjasama dan menjalankan tugas secara berganding bahu bagi mencapai matlamat pasukan. Sebuah pasukan terdiri daripada gabungan sebilangan individu yang mempunyai kompetensi yang saling bergantung iaitu dari segi keupayaan, kepakaran, kemahiran dan pengatahuan serta mempunyai akauntabiliti dan komitmen terhadap prestasi pasukan serta bersedia melaksanakan tugasan secara bersama. Antara ciri2 sebuah pasukan adalah:
CIRI-CIRI PASUKAN KERJA
Ketua Ketua sebagai fasilitator dan pebimbing pasukan
Membuat keputusan Persetujuan seluruh pasukan setelah maklumat diterima dan dinilai
Matlamat Matlamat ditentukan oleh pasukan
Penentuan kerja Pasukan merangcang penugasan kerja secara bersama
Komunikasi Komunikasi dua hala yang lebih terbuka dan telus
Kerjasama Anggota berkongsi kepakaran dalam menjadi pelengkap antara satu sama lain

Hasil kerja
Hasil kerja berpasukan
Penilaian Prestasi di nilai secara kolektif

Melalui kerja berpasukan, organisasi dapat meningkatkan hasil tanpa meningkatkan sumber kerana kerja berpasukan melibatkan gabungan usaha, pengatahuan, kemahiran dan kebolehan yang dapat menghasilkan prestasi kerja yang lebih tinggi berbanding jika dilakukan secara bersendirian. Lapan nilai2 utama yang menjasi pra syarat kepada perlaksanaan kerja secara berpasukan iaitu:
  1. Matlamat sama
  2. Tanggungjawab bersama

  3. Saling percaya mempercayai
  4. Berkongsi idea
  5. Saling bantu membantu
  6. Bertolak ansur
  7. Musyawarah
  8. Kerjasama
Sering kali wujud kekeliruan antara kerja berpasukan dengan kerja berkumpulan. perlu dipastikan bahawa kedua-dua istilah ini berbeza. Kerja dalam kumpulan belum tentu membawa maksud kerja sepasukan. Terdapat banyak jenis kerja yang dilakukan oleh individu dalam kumpulan tetapi ia belum menjadi kepada contoh kepada kerja berpasukan kerana:
“Kerja berkumpulan menumpukan kepada kerja masing2 tetapi secara beramai-ramai setiap orang telah ditetapkan kerja yang mesti di siapkan. Malah seseorang dalam kumpulan hanya menerima arahan daripada ketua serta tidak terlibat di dalam menentukan sebarang keputusan atau tindakan”
Tambahan lagi, kerja berpasukan dapat menerima anggota pasukan yang berlainan latar belakang dan menganggap anggota yang berbeza sebagai “sebahagian daripada kita” tetapi kerja berkumpulan, biasanya anggota terdiri daripada mereka yang mempunyai persamaan dari segi cara berfikir dan latara belakang dan menganggap orang lain berbeza sebagai "bukan daripada kita".

Ulasan saya: Ketua sebagai fasilitator dan peminpin pasukan memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan jatuh bangun sesebuah pasukan dan beliau dianggap berjaya sekiranya dapat menggerakkan ahli-ahli pasukan melalui semangat kerja berpasukan untuk mencapai matlamat pasukan. Melalui kerja berpasukan, hasil dapat ditingkatkan tanpa meningkatkan sumber kerana ahli-ahli boleh menjalankan kerja secara bersama dan hubungan yang lebih erat antara ahli-ahli dapat diwujukan. Kejayaan dapat dicapai kerana ahli-ahli telah mengabungkan segala usaha, pengatahuan, kemahiran dan kebolehan. Jadi, prestasi kerja yang lebih tinggi dan lebih berkesan dapat diwujudkan berbanding jika dilakukan secara bersendirian.



A136193 ----> JENIS PEMIMPIN
Menilai jenis pemimpin
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
Oleh Aziz Jamaludin Mhd Tahir
Dalam bukunya, Menjadi Pemimpin (2008), Dr. Azizan memberikan pengukuhan konsep pemimpin kepada empat jenis utama iaitu pemimpin karismatik, pemimpin transaksi, pemimpin yang sentiasa memikirkan kaedah memenangkan dirinya sendiri dan pemimpin transformasi.
Pemimpin Karismatik

Seorang pemimpin karismatik merupakan pemimpin yang popular dan menjadi pujaan pengikutnya. Pemimpin jenis ini, walaupun adakalanya membuat kesilapan, kesilapan yang dilakukan itu tidak dinilai sebagai satu kesilapan. Malah, setiap kali percubaan untuk mendedahkan keburukannya akan dianggap sebagai satu helah, kemudiannya akan dirumuskan sebagai konspirasi. Penyokong setianya tidak boleh menerima kesalahan tersebut, dan sebarang percubaan menjatuhkan pemimpin itu akan ditentang kerana mereka sanggup "mati dan berjuang" mempertahankannya.
Menjadi lebih keutamaan ialah pemimpin karismatik bukan sahaja mampu menghimpunkan ramai pengikut bahkan orang sanggup mendengar ucapannya dengan tekun tanpa menilainya sebagai sesuatu yang bertentangan. Pemimpin jenis ini amat bijak menggunakan lisan dan bahasa badan sehingga ia dilihat hebat, mampu menyelesaikan masalah masyarakat dan gaya retoriknya mempunyai ritma "mega mendung." Pemimpin jenis ini tahu membangkitkan resah melalui kata-kata dan mampu pula memberikan solusi walaupun secara rasionalnya ia adalah sesuatu yang tidak munasabah.
Pemimpin Transaksi
Pemimpin transaksi tidak mempunyai kehebatan berpidato, tetapi ia merupakan pemimpin yang sanggup bekerja keras untuk memenuhi tanggungjawabnya. Pemimpin jenis ini mempunyai idea yang praktikal dan tidak akan membuat janji seandainya tidak mampu dilaksanakan. Pemimpin transaksi mengamalkan gaya
kepimpinan sederhana, tidak meninggi diri dan sentiasa berkorban untuk mensejahterakan orang yang dipimpinnya.
Pemimpin yang sentiasa memikirkan kaedah untuk menang sendiri
Pemimpin ketiga ialah pemimpin yang sentiasa memikirkan kaedah untuk menang sendiri. Pemimpin ini akan menggunakan apa sahaja kaedah dan cara yang difikirkan sesuai asal sahaja kedudukannya dapat dipertahankan. Sifat ini amat bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh Nicollo Micheavelli dan bagi Dr. Azizan ia dikenali sebagai pemimpin ‘Halsca’ (halal segala cara). Fitnah bukan dilihat sebagai kaedah jijik, malah dianggap sebagai satu strategi politik.
Pemimpin Transformasi
Pemimpin keempat ialah pemimpin transformasi. Pemimpin jenis ini bukan sahaja memberikan ilmu kepada pengikutnya malah turut berusaha membentuk budaya berfikir secara rasional. Ia ikut membudayakan percambahan ilmu dan tidak mudah berjanji untuk menempatkan dirinya sebagai populis.
Pemimpin transformasi adakalanya dilihat mempunyai gaya karismatik, tetapi bukan dengan tujuan untuk menunjukkan kehebatan secara peribadi. Pemimpin transformasi tidak berusaha membentuk kelompok penyokong yang fanatik, tetapi lebih menjurus kepada pembentukan pemikiran penyokongnya secara rasional agar mampu membuat keputusan dengan bijak dan berkesan. Pemimpin jenis ini bercakap dengan menggunakan fakta dan bukannya gemar membuat kesimpulan secara tergesa-gesa.
Seorang pemimpin transformasi sentiasa memberikan fokus selaras dengan tanggungjawabnya sebaga
i seorang pemimpin. Pemimpin jenis ini meletakkan amanah sebagai pemandu arah dan berusaha sepenuh daya untuk memberikan kesejahteraan kepada orang yang dipimpinnya. Pemimpin transformasi tidak menjadikan kedudukannya sebagai keistimewaan, sebaliknya mengutamakan setiap peluang dan fikirannya untuk memenuhi tuntutan masyarakat.
Perspektif kepimpinan transformasi merupakan sifat kepimpinan yang banyak diberikan penekanan dalam al-Quran. Pemimpin jenis ini akan sentiasa berusaha menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh amanah dan bila membuat sesuatu keputusan, ia berdasarkan kepada prinsip keadilan.
Konsep keadilan tidak dicampuradukkan dengan konsep sama rata. Konsep keadilan ialah meletakkan hak ditempat yang sepatutnya, maka dalam memenuhi tuntutan tersebut, ia tetap bersandarkan kepada peraturan dan etika yang telah melembagakan sesuatu perkara. Bagi perkara-perkara yang belum dilembagakan sebagai satu bentuk peraturan dan etika, akan dicari pula satu rumusan yang boleh diterima secara umum.
Dalam konteks ini, pemimpin transformasi tidak akan meminggirkan kelompok minoriti walaupun dalam konteks demokrasi, majoriti menjadi kuasa penentu. Kepentingan minoriti akan dilihat secara saksama, kerana mereka juga mempunyai hak selagi hak tersebut tidak melanggar hak orang lain.

Konteks Kepimpinan Islam
Dalam konteks kepimpinan Islam, menunaikan tanggungjawab, menjaga amanah dan menegakkan keadilan adalah beban yang disandarkan ke atas bahu seseorang pemimpin. Sebagai pemerintah (ulil amri), setiap pengikut pula diwajibkan mentaatinya selagi setiap tingkah laku dan kaedah pemerintahan tersebut tidak menjurus kepada kebongkakan, menolak keyakinan dan melanggar perintah Allah SWT serta mendusta Rasulullah (Surah al-Nisa' ayat 48).
Kekuasaan yang diperoleh seseorang pemimpin adalah atas keizinan-Nya. Seseorang itu tidak boleh menganggap kuasa yang ada padanya adalah hak mutlaknya, kerana sehebat mana manusia cuba mendapatkannya, melalui apa cara sekalipun, jika tanpa restu Allah SWT ia tidak akan memperolehnya. Sejarah manusia yang lupa mengenai kekuasaan Allah SWT banyak berlaku meskipun seseorang itu dilihat hebat – dari jenis pemimpin karismatik – tapi akhirnya kecundang dan jika sempat menjadi pemimpin, di akhir pemerintahannya diselubungi tragedi.
Kita mungkin boleh mengambil contoh Muammar Gadafi sewaktu permulaannya dilihat sebagai wira. Setelah lebih 40 tahun memimpin Libya, Gadafi menjadi musuh dan rakyatnya sedang berjuang untuk menyingkirkannya secara tidak terhormat. Begitu juga dengan nasib yang diterima oleh Hosni Mubarak, terpaksa hidup dalam buangan dan menjadi umpatan.
Di dalam kitab Musnad (jilid 3 halaman 154), Imam Ahmad bin Hanbal memetik hadis Rasullullah SA
W yang bermaksud: Tidak ada iman (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak ada kepercayaan (beramanah) baginya. Dan tidak ada agama (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak menepati janji baginya. (Riwayat Ahmad dan Baihaqi).
Berdasarkan prinsip tersebut, menjadi pemimpin bukanlah bermakna mendapatkan jawatan yang tertinggi. Kedudukan jawatan itu perlu disusuli dengan usaha memenuhi tanggungjawab dan amanah. Ingatan itu perlu sentiasa menjadi gagasan yang wahid bagi seseorang yang ingin menjadi pemimpin sebagai mana maksud hadis: Tidak ada seorang pemimpin yang menjaga urusan umat Islam sekiranya dia mati sedangkan dia ada mengkhianati mereka melainkan Allah SWT haramkan ke atasnya syurga. (Riwayat Syaikhan).
Berdasarkan kerangka analisis kepimpinan jelaslah bahawa pemimpin transformasi amat diperlukan berbanding lain-lain jenis pemimpin. Rasulullah saw diakui dunia sebagai seorang pemimpin yang jujur. Bila berjanji kepada masyarakat yang dipimpinnya, ia tunaikan janji sesuai dengan tuntutan Allah SWT.
Kesimpulan
Rakyat Malaysia semakin matang menilai pemimpin. Rakyat sentiasa memerhatikan setiap tindak tanduk pemimpin kerana rakyat Malaysia semakin sedar, berilmu dan dapat membaca tingkah laku seseorang pemimpin. Rakyat semakin bijak, tetapi dalam kecerdikan itu jangan tersalah pilih, terlalu banyak
musang berbulu ayam yang hanya mencari peluang dengan berlakon dan bersandiwara. Hakikatnya, ayam sereban habis, reban bersepah dengan bulu-bulu ayam, musang hilang setelah kekenyangan.


A136193 ----> KOMPONEN PENTING DALAM KERJA BERPASUKAN

‘Kerja berpasukan’, dua perkataan itu sudah cukup menggambarkan maknanya. Kerja berpasukan adalah istilah yang digunakan untuk menerangkan kerjasama yang efektif yang dilakukan oleh ahli pasukan. Ia adalah kemampuan untuk memahami dan mengenali kelebihan serta kebolehan yang berlainan dalam satu kumpulan untuk digunakan bagi penyelesaian terakhir.
Andrew Carnegie mengatakan, “Kerja berpasukan adalah kebolehan untuk bekerja bersama menuju ke satu visi. Ia adalah kebolehan untuk membimbing seseorang individu menjayakan matlamat organisasi..”
Ketua Pasukan
Komponen yang paling penting adalah kepimpinan. Ketua pasukan seharusnya mempunyai kemahiran
dan pengetahuan dalam mewujudkan serta mengekalkan satu budaya kerja yang positif. Ketua pasukan sepatutnya mampu meningkatkan tahap moral, motivasi dan memberi inspirasi kepada ahli pasukan agar ahli pasukan berasa disokong dan dihargai.Satu keperluan yang sangat mustahak bagi seorang ketua pasukan adalah mendapatkan kepercayaan ahli pasukannya. Tanpa kepercayaan dari ahli pasukan, adalah mustahil dan sukar bagi seseorang ketua pasukan memimpin pasukannya.
Seseorang ketua pasukan perlu selalu membuat refleksi diri supaya tidak menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Dia perlu fokus kepada bahagian positif ahli pasukannya dan bukannya bahagian yang negatif. Seorang ketua pasukan perlu juga percaya bahawa sesiapa sahaja mempunyai keupayaan untuk belajar, mengadaptasi dan berkembang.

Komunikasi Efektif

Faktor-faktor lain untuk wujudkan semangat kerja berpasukan adalah komunikasi efektif, saling memahami budaya serta latar belakang, menyelesaikan konflik bersama dan saling memberi motivasi untuk bergerak. Komunikasi efektif adalah keupayaan membuat orang lain memahami apa yang disampaikan. Ia adalah kunci utama dalam membina pemahaman, perhubungan dan rasa hormat dengan orang lain. Tambahan pula, tanpa komunikasi efektif, idea yang sebaik mana pun tidak akan membuahkan hasil. Ini adalah kerana idea tidak dapat disampaikan dan difahami oleh ahli pasukan.
Konflik adalah bahagian semulajadi dalam interaksi dengan orang lain. Ia adalah normal dan dapat dielakkan. Konflik biasanya terjadi apabila beberapa orang ingin bekerja bersama dan masing-masing mempunyai pendirian tersendiri. Setiap individu menangani konflik dengan cara yang berlainan; ada yang mengelaknya, ada yang menghadapinya dan ada yang bertindak mengikut emosi. Ahli-ahli pasukan seharusnya menggunakan pendekatan yang sistematik, efektif dan konsisten untuk menyelesaikan sesuatu konflik. Jika tidak keadaan akan menjadi lebih buruk.
Motivasi adalah komponen asas dalam proses kejayaan dalam apa jua. Motivasi adalah penggerak inspirasi kepada ahli pasukan untuk menunjukkan prestasi kerja yang lebih baik, lebih berinovatif dan lebih bersemangat untuk mencapai matlamat pasukan.

Ahli Pasukan
Bukanlah mudah untuk membentuk satu pasukan kerja yang mempunyai semangat berpasukan lagi efektif bagi mencapai sesuatu matlamat. Ahli-ahli pasukan perlu selalu berjumpa untuk membuat perbincangan dan melaporkan perkembangan tugasan yang diberikan. Kerja berpasukan harus dibentuk dengan betul, dipantau secara berterusan, sentiasa diperbaiki mana-mana kesilapan, terdiri dari ahli-ahli pasukan yang mempunyai sifat-sifat tertentu, barulah dapat mencapai sesuatu matlamat.
Ahli-ahli pasukan diinspirasikan oleh visi yang jelas, di mana mereka memahami visi, menerima visi, bermuafakat bekerja dengan semangat kegigihan dan ketekunan untuk mencapai visi tersebut tanpa mengira pelbagai rintangan yang bakal dihadapi. Mereka juga bersikap demokrasi, menerima pandangan orang lain, rasional dan berhati terbuka dalam semua perkara.
Setiap ahli pasukan saling mempercayai, jujur, saling menghormati, menerima tanggungjawab dan peraturan dan mempunyai akauntabiliti. Mereka bertanggungjawab atas tugasan masing-masing dan tugasn pasukan. Mereka juga tidak menyalahkan orang kain di kala menghadapi rintangan atau membuat kesilapan. Mereka, seperti yang dikataka oleh Dong Smith, berkongsi beban, bahagikan kesedihan. Ianya samalah seperti dalam pepatah Melayu, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.”

Ahli-ahli pasukan juga tidak mementingkan diri sendiri. Kesemua tugasan yang dilaksanakan adalah berdasarkan konsep ‘kita’ bukan ‘saya’. Mereka percaya bahawa semangat kerjasama dan saling berganding bahu adalah punca pencapaian matlamat. Mereka bekerja berpandukan dengan peribahasa Jepun yang berbunyi, “Sebatang panah mudah sahaja dipatahkan, tetapi bukannya sepuluh batang panah yang dikat bersama.”
Mereka sentiasa saling bantu membantu dan berinisiatif melakukan apa yang sepatutnya tanpa diberitahu atau disuruh. Mereka sentiasa menepati masa dalam apa jua kerana bagi mereka masa adalah unik dan sumber penting yang tidak dapat dituntut semula. Mereka juga bertoleransi, sabar, bertimbang rasa terhadap ahli lain tanpa mengira agama, bangsa, budaya, umur dan jantina. Seorang penulis pernah mengatakan, “Kita adalah pasukan yang berkesan apabila kita saling puji memuji tanpa segan silu dan tidak takut dengan kritikan orang lain.”

Kesimpulan

Organisasi, masyarakat dan negara dibina oleh manusia. Manusia adalah aset paling utama dalam organisasi. Dengan itu, adalah tersangat mustahak bagi setiap organisasi mempunyai semangat kerja berpasukan. Dengan mempunyai tenaga kerja yang bekerja berpasukan, semua matlamat yang dirancang dapat dicapai.
Henry Ford, pengasas syarikat motor Ford berkata, “Seiring sejalan adalah satu permulaan, sehati sejiwa adalah satu perkembangan, berganding bahu adalah satu kejayaan.”







A135872----> JADILAH PENDENGAR YANG BAIK 

WAHAI PEMIMPIN!
Hasanuddin Mohd Yunus. Jadilah pendengar yang baik wahai pemimpin!. (2011, May 23). Retrieved December 22, 2011 from http://malaysiaharmoni.com/v2/index.php/pandangan/859-jadilah-pendengar-yang-baik-wahai-pemimpin



Mendengar adalah sesuatu yang memenatkan, apatah lagi kalau kita tidak berminat dengan apa yang diperkatakan.
Dalam keadaan mengantuk macam mana sekalipun, kita akan menjadi segar apabila bicara yang kita dengar itu mendapat perhatian minda kita.
Bagi orang yang bertanggungjawab pula, dia akan rasa berdosa kalau tidak mendengar setiap perkataan pengikut atau orang yang sedang dipimpinnya.
Wanita dikatakan seorang pendengar yang baik. Namun lelaki pemimpin seharusnya diberi peluang untuk meningkatkan mutu mendengarnya. Meminjam teknik-teknik kaunseling sangat membantu pemimpin untuk menjadi pendengar yang baik.
Mengatur apa yang difokus oleh pemimpin sangat membantu apa yang perlu didengarinya. Pemimpin yang berserabut dengan lambakan isu di hadapannya akan lebih memburukkan keadaan.
Lambakan isu sudah menjadi lumrah seorang pemimpin. Amat malang kalau pemimpin itu mengangkat tangan mengaku kalah dengan lambakan itu. Pemimpin sebegini, sekali lagi memerlukan bantuan, latihan menyusun isu.
Sekali-sekala dia perlu dibantu untuk “switch off” atau “switch on” dan tahu pula “turn the right channel” ketika meneliti apa yang didengar. Apabila dia fokus apa yang dia dengar, kemudian dia pandai memasukkan setiap isu ke dalam bilik atau beg mindanya, mengikut topik, dia telah mula berjaya mengatur.

Pemimpin yang bijak ketika mendengar, dia juga akan mengklasifikasikan apa yang dia dengar itu kepada tiga bahagian:
1. Apa yang terjadi? Apa yang berlaku? Akhirnya dinamakan semua kejadian itu sebagai sejarah.
2. Apa perasaan orang yang sedang bercakap? Sama ada terungkap, tersirat atau tersembunyi. Kebijaksanaan pemimpin meneroka dan mengagak sangat penting. Tetapi tidak sampai ke peringkat menghukum, kerana masih di peringkat mendengar. Memadai memasukkan ke beg-beg minda yang dibinanya sendiri. Dia dapat mengesan, orang yang bercakap dengannya itu sedang marah? sedih? gembira? takut?
3. Apa pula harapan orang yang sedang bercakap itu? Apa sebenarnya yang dia minta? Kadang-kadang pemimpin tidak dikira “mendengar” kerana gagal memahami apa yang sedang dihajati oleh orang yang sedang berbicara dengannya. Pemimpin yang baik tidak boleh menyalahkan pengikutnya yang gagal menerangkan apa yang dihajati. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang menyalahkan dirinya kerana gagal memahami apa maksud pengikutnya, walau bicaranya berbolak-balik. Kalau tidak dia bukan seorang pemimpin yang baik.

Mari kita lihat kehebatan Nabi Sulaiman sebagai pemimpin yang tajam bila mendengar. Kita tidak mampu menjadi pemimpin seperti baginda a.s. tetapi memadai belajar meniru darinya; adalah satu kejayaan ketika memimpin.
حَتَّىٰ إِذَا أَتَوْا عَلَىٰ وَادِ النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari."
(An-Naml 27: 18)

Kehebatan mendengar itu adalah salah satu simbolik kepada kehebatan pemimpin seperti Nabi Sulaiman a.s. Walau sedang sibuk memimpin bala tenteranya, tentera udara yang terdiri dari pelbagai burung, tentera daratnya yang terdiri dari pelbagai manusia dan tentera ghaibnya yang terdiri dari para pelbagai jin, kehebatan itu tidak membuat baginda alpa mendengar aduan rakyatnya yang sekecil semut.
Wakil Rakyat semut, hanya mampu mengurus semut-semutnya. Selamatkanlah diri masing-masing. Pemimpin yang besar dan gagah barangkali tidak perasan boleh mencederakan pengikutnya tanpa disedari.
Pemimpin kena sedar, tidak sekadar tubuhnya malah bicaranya, arahannya, penguatkuasaannya dan “auranya” boleh membinasakan pengikutnya. Pemimpin yang bertakwa seperti Nabi Sulaiman pun boleh mencederakan rakyat tanpa disedari, bagaimana pula pemimpin yang belum cukup taqwanya?
Bagaimana pula dengan pemimpin yang memang sengaja menzalimi rakyatnya. Mengambil segala kesempatan dari apa yang ada dibawahnya. Membunuh? Rasuah? Fitnah? Sudah tentu mereka tidak berminat langsung untuk mendengar dari rakyat mereka.

فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmat-Mu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh."
(An-Naml 27: 19)

Tersenyum kegembiraan seorang pemimpin kerana sayang kepada rakyatnya. Tersenyum seorang pemimpin kerana walau berkuasa, mampu mendengar keluhan rakyatnya. Tersenyum seorang pemimpin kerana bersyukur kepada Allah, tidak lupa batas kuasanya.
Tersenyum dan terbahak ketawa seorang ketua mungkin kerana berjaya merasuah, menipu dan memutar belitkan berita. Terbahak ketawa mungkin kerana puas dengan pembazirannya. Terbahak mungkin kerana berjaya memperbodohkan rakyatnya.
Pemimpin yang bertakwa yang sentiasa mendengar keluhan dan aduan pengikutnaya akan sentiasa berdoa:
• Mohon berterusan pandai bersyukur atas segala kurniaan Allah ketika memimpin itu
• Tidak lupa nikmat yang Allah berikan untuk keturunan sebelum ini
• Kekal iltizam dan istiqamah dengan pelbagai amal-amal solih yang diredhai Allah
• Merayu kekal dengan jemaah Islam, bersama hamba-hamba Allah dalam jaringan mata rantai yang luas

Kenapa pemimpin boleh dan sanggup menjadi pendengar yang baik? Ini kerana doa sebegini menjadi permainan hariannya.
Fikiran dan hatinya mendesak untuk dia mendengar dengan baik dan mendengar dengan betul. Menyusun apa yang didengar dan menyusun apa tindakan yang sepatutnya.
Moga Allah mengampunkan, memberi hidayah dan memberkati kepada setiap yang bernama pemimpin. Moga Allah mengganti dan menurunkan pemimpin yang menolak hidayah-Nya.

ULASAN :
Satu daripada elemen penting dalam konsep kepimpinan yang berkesan ialah kemampuan pemimpin mendengar dengan teliti apa sahaja yang ingin diperkatakan oleh pengikut mereka. Dalam konteks ini, pemimpin perlu memberi perhatian kepada setiap kata-kata yang digunakan semasa berkomunikasi, bahasa tubuh dan nada suara. Oleh yang demikian, pemimpin hendaklah memperlengkapkan diri dengan kemahiran mendengar yang tajam dan kesabaran yang tinggi bagi menjadi pendengar yang baik kepada pengikut mereka. Selain itu, pemimpin perlulah memiliki kebijaksanaan untuk menganalisis apa yang cuba disampaikan oleh pengikutnya. Sekiranya pemimpin gagal untuk menjadi pendengar yang baik, keadaan ini berkemungkinan membuatkan pengikutnya rasa tidak dihargai. Situasi seperti ini boleh merosakkan hubungan antara pemimpin dengan pengikut dan seterusnya menggagalkan matlamat yang ingin dicapai.

1 comment:

  1. Pada pandangan saya bahawa seseorang pemimpin harus memimpin anak buahnya dengan corak jenis transformasi supaya disegani dan dihormati.Di samping itu, untuk menjayakan sesuatu projek yang melibatkan bilangan orang yang ramai,salah satu faktor yang paling penting ialah semangat kerja berpasuakn.

    ReplyDelete